Showing posts with label seksyen U13. Show all posts
Showing posts with label seksyen U13. Show all posts

Case study permohonan kelulusan pelan ubahsuai rumah teres lot-tepi seksyen U13 Shah Alam melalui sistem baru OSC-MBSA

 


Assalamualaikum & salam sejahtera. Selamat tinggal tahun 2024 & selamat menyambut tahun 2025!

Kali ini saya nak kongsi bagaimana saya melalui proses baru permohonan kelulusan pelan ubahsuai rumah ke MBSA melalui sistem OSC-MBSA yang telah dikuatkuasakan bermula Jun 2024. 

Jika sebelum ini saya submit plan online terus ke Jabatan Bangunan MBSA, kali ini semua perunding perlu kemukakan pelan online ke sistem OSC-MBSA yang dikuasakan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan @ KPKT untuk memantau semua permohonan pelan di Malaysia.


1. LANTIKAN SEBAGAI PERUNDING OLEH KLIEN (OGOS-SEPTEMBER 2024)

Klien buat carian 'pelukis pelan shah alam' di google dan berjumpa dengan blog saya di internet. Setelah membaca artikel yang saya tulis, beliau hubungi saya, berikan lakaran pelan ubahsuai rumah & saya berikan sebutharga. 

Lepas klien setuju dengan harga, saya bertemu klien di rumah beliau & berbincang lanjut berkaitan rekabentuk ubahsuai rumah beliau. Klien setuju lepas berbincang & melantik saya sebagai perunding untuk uruskan kelulusan pelan di MBSA.


2. PENYEDIAAN PELAN & VISUAL REKABENTUK UBAHSUAI RUMAH (7-18 SEPTEMBER 2024)

Dalam tempoh masa 10-14 hari, saya sediakan draf lakaran pelan & visual 3d rekabentuk ubahsuai rumah yang dicadangkan. Draf pelan+3d yang siap saya serahkan kepada klien untuk disemak. 

Di bawah adalah proposal visual 3d rekabentuk pelan ubahsuai rumah yang saya cadangkan merujuk kepada perbincangan dengan klien.

Proposal rekabentuk pelan ubahsuai & visual 3d tambahan rumah


3. PENYEDIAAN PELAN SUBMISSION KE MBSA (20 SEPTEMBER - 6 OKTOBER 2024)

Setelah klien membuat pindaan kepada proposal plan & setuju dengan rekabentuk yang dicadangkan, dalam masa 14 hari bekerja saya sediakan detail drawing pelan submission yang lengkap untuk dikemukakan ke MBSA. 

Pelan yang siap diserahkan untuk semakan klien & tandatangan beliau. Klien ambil masa hampir  minggu untuk sediakan & serahkan semua dokumen yang diperlukan untuk saya kemukakan bersama pelan ke OSC-MBSA.

                                Gambaran pelan submission lengkap yang siap


4. KEMUKAKAN PELAN & DOKUMEN ONLINE KE OSC-MBSA (18 OKTOBER 2024)

Semua dokumen & pelan lengkap saya kemukakan ke lamanweb OSC-MBSA. Dokumen yang diterima OSC akan disahkan dan diberi notis akuan terima. Pihak OSC-MBSA akan ambil masa 7 hari bekerja untuk proses permohonan & notis akan diberikan jika permohonan diterima@ditolak. 

Paparan notis submission online diterima OSC-MBSA


5. TERIMA BIL PROSES PELAN+PERMIT & BIL TONG RORO MBSA (18 OKTOBER 2024)

Pada tarikh sama selepas submission online, saya terima salinan bil proses pelan+permit & bil tong roro. Juga diterima notis online dari OSC-MBSA untuk kemukakan dokumen & plan hardcopy ke kaunter setelah bil dibayar. 

Saya kongsikan bil kepada klien & beliau transfer sejumlah wang untuk saya bayar MBSA. Bil proses pelan+permit saya bayar online, manakala bil roro dibayar di kaunter MBSA tingkat bawah. 

Salinan bil roro yang telah dibayar saya serahkan ke Jabatan Khidmat Bandar untuk diproses & diberikan kepada saya surat hijau yang mengandungi maklumat kontraktor yang akan hantar/ambil tong roro ke rumah klien.

                  Bil proses pelan+permit yang telah dibayar online


Bil tong roro yang dibayar di kaunter MBSA


6. TEMUJANJI KEMUKAKAN PELAN+DOKUMEN HARDCOPY KE KAUNTER OSC-MBSA (24 OKTOBER 2024)

Setelah semua bil dibayar, saya hubungi OSC-MBSA dan mohon tarikh temujanji untuk kemukakan hardcopy plan+dokumen ke kaunter OSC-MBSA. Saya hadir ke MBSA pada tarikh & masa yang diberikan (830am 24/10/2024) & kemukakan semua dokumen lengkap di kaunter OSC-MBSA. 

Dokumen lengkap disemak pegawai & beliau serahkan notis akuan terima kepada saya. OSC akan serahkan semua dokumen kepada Jabatan Bangunan MBSA untuk urusan lawatan tapak & semakan pelan, serta pembentangan pelan dalam mesyuarat majlis yang berlangsung 2 kali sebulan.

Gambar notis akuan terima pelan & dokumen lengkap dari kaunter OSC-MBSA


7. FOLLOW-UP STATUS ULASAN PELAN DARI JABATAN BANGUNAN (24 OKT - 1 NOV 2024)

Dalam masa 7-14 hari selepas saya kemukakan harcopy plan+dokumen ke kaunter OSC-MBSA, saya follow up status pelan secara online di lamanweb OSC-MBSA

Tujuannya adalah untuk dapatkan status ulasan pelan dari Jabatan Bangunan MBSA selepas mereka membuat lawatan tapak & menyemak pelan+dokumen.


8. ULASAN PELAN OLEH MBSA & PEMBETULAN PELAN (1 NOV 2024)

Pada tarikh 1 NOV 2024, saya dapat notis dari Jabatan Bangunan untuk datang & ambil ulasan pada jam 10am. Seperti biasa akan ada komen+ulasan dari pegawai yang semak pelan untuk saya baiki pelan yang berkaitan. 

Saya ke MBSA, ambil plan & bawak balik ke ofis untuk dipinda merujuk kepada ulasan yang diberikan MBSA.

Paparan surat ulasan MBSA ke atas pelan


9. KEMUKAKAN SEMULA PELAN YANG DIPINDA KE MBSA (4 NOVEMBER 2024)

Setelah pelan siap dipinda merujuk kepada surat ulasan MBSA, saya buat temujanji dengan pegawai & pada tarikh 4 November 2024, saya kemukakan semula pelan yang lengkap kepada staf MBSA. 

Saya juga kemukakan surat akuan serahan semula pelan pindaan ke MBSA sebagai bukti pelan dikemukakan semula untuk proses kelulusan. 

Surat serahan semula pelan yang dipinda ke MBSA


10. KELULUSAN PELAN & PERMIT UBAHSUAI RUMAH (5 DISEMBER 2024)

Selepas pelan pindaan dikemukakan ke MBSA, setiap minggu saya follow up status di MBSA dengan merujuk kepada link semakan pelan online di SINI.  

Hasil semakan pada tarikh 5 Disember 2024, notis pelan lulus telah keluar. Pada 6 Disember 2024 saya terus ke MBSA ambil pelan lulus & permit & maklumkan kepada klien. 

Pada 7 Disember 2024 saya buat temujanji dengan klien & serahkan semua dokumen kelulusan kepada klien, Alhamdulillah selesai!


Pelan lulus & permit ubahsuai rumah yang diambil di MBSA.


KESIMPULAN

a. Proses mendapatkan kelulusan pelan dari MBSA melalui prosedur OSC agak lambat & memakan masa yang lebih lama dari prosedur lama.

b. Bagi proses kelulusan yang terdahulu sebelum Jun 2024, saya mendapat kelulusan pelan antara 2-3 minggu selepas pelan dikemukakan secara online direct ke jabatan bangunan MBSA (tanpa OSC sebagai orang tengah).

c. Klien terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kelulusan permit ubahsuai rumah setelah KPKT masuk campur dalam proses kelulusan pelan MBSA kerana perunding terpaksa kemukakan melalui sistem OSC sebagai orang tengah yang akan terima file & kemudian diserah ke Jabatan Bangunan MBSA.

d. Tempoh masa yang diambil dari waktu saya berurusan dengan klien hingga mendapat kelulusan pelan adalah dari awal bulan Ogos 2024 hingga awal bulan Disember 2024, sekitar 4 bulan.

Saya harap perkongsian kali ini memberi manfaat kepada sesiapa yang berhajat mendapatkan permit ubahsuai rumah di kawasan Shah Alam. Jumpa lagi dalam artikel akan datang & selamat menyambut Tahun Baru 2025!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK & PENYEDIAAN PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA


Case Study Proses Permohonan Kelulusan Pelan Ubahsuai Rumah Teres Lot-Tepi di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam

 

Case Study Proses Mendapatkan Permit Kelulusan Pelan Ubahsuai Rumah Teres Lot-Tepi di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam

 

Rumah teres lot tepi seksyen U13 Shah Alam

Case Study Proses Mendapatkan Permit Kelulusan Pelan Ubahsuai Rumah Teres Jenis Lot-Tepi di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam, Selangor D.E.

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada para pembaca blog!

Kali ini saya nak kongsi case study ringkas proses penyediaan pelan ubahsuai rumah teres 2 tingkat jenis lot-tepi di seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam & proses perjalanan mendapatkan kelulusan permit ubahsuai rumah dari MBSA.

SEPTEMBER - OKTOBER 2022

1. Klien telah melantik saya sebagai perunding untuk menguruskan rekabentuk pelan ubahsuai rumah & mendapatkan kelulusan pelan dari MBSA. Kami bertemu & berbincang di rumah yang akan diubahsuai. Klien bercadang untuk membuat tambahan rumah bahagian tepi & belakang untuk keselesaan keluarga beliau. Perbincangan dibuat berpandukan lakaran kasar pelan tambahan rumah yang disediakan klien.

2. Tempoh 14 hari ; Saya sediakan 1st proposal layout plan & visual 3d tambahan rumah & emel kepada klien. Dibawah adalah gambaran 3d tambahan rumah serta video presentation yang diberikan kepada klien ;


Gambar perspektif cadangan ubahsuai rumah lot-tepi seksyen U13 Shah Alam


Video cadangan rekabentuk ubahsuai rumah lot-tepi seksyen U13 Shah Alam


3. Selepas menyemak 1st proposal, klien mencadangkan sedikit pindaan dalam pelan/3d; saya buat pindaan rekabentuk & sediakan 2nd proposal layout plan/3d untuk semakan beliau.

4. Klien setuju dengan design kedua & saya mulakan kerja penyediaan pelan submission ke MBSA. Proses penyediaan pelan submission mengambil masa lebih kurang 14 hari (hari bekerja).


Gambar pelan submission yang siap


NOVEMBER 2022

1. Pelan submission siap & saya emel kepada jurutera untuk penyediaan pelan struktur tambahan 2 tingkat.

2. Jurutera ambil masa dalam 7 hari sediakan pelan struktur & beliau emel kembali pelan struktur tambahan 2 tingkat yang telah siap.

3. Pelan-pelan yang siap saya emel kepada klien untuk di tandatangani & klien emel semula pelan bersama dokumen-dokumen yang diperlukan untuk dikemukakan ke MBSA.


ONLINE SUBMISSION KE MBSA

1. Saya kemukakan semua dokumen secara online ke MBSA pada 7 November 2022. 

2. Dalam tempoh 1-2 hari MBSA menjawab kembali emel dan maklumkan bahawa dokumen didapati lengkap; MBSA berikan tarikh 10 November 2022 untuk saya hadir temujanji bagi semakan pelan/dokumen di kaunter.


Gambar emel jawapan MBSA selepas pelan dikemukakan online


3. Saya cetak semua dokumen & pelan & hadir ke temujanji semakan pelan di MBSA. Hasil semakan & perbincangan dengan pegawai yang semak pelan didapati ada sedikit pindaan yang perlu dibaiki dalam pelan. Pegawai cetak dokumen semakan & berikan sokongan bertulis untuk kemukakan pelan & dokumen lengkap setelah pindaan dibuat ke atas pelan.


Gambar surat semakan/komen/sokongan MBSA selepas pelan disemak oleh pegawai


4. Saya ambil masa 2-3 hari buat pindaan kepada pelan & cetak semula kemudian kemukakan semua dokumen lengkap ke MBSA pada 15 November 2022. Saya maklumkan kepada klien yang pelan telah dikemukakan & tunggu kelulusan dalam jangkamasa 14 hari bekerja.

Gambar surat bukti pelan/dokumen lengkap dikemukakan ke MBSA


KELULUSAN PELAN 30 NOVEMBER 2022

1. Selepas 2 minggu submission, saya semak status kelulusan online pada 30/11/2022 & didapati pelan telah lulus & klien perlu bayar fee MBSA sebanyak RM1874. Saya maklumkan pada klien & beliau transfer jumlah yang perlu dibayar ke akaun saya.

2. Saya ke MBSA pada tarikh sama, bayar bil proses pelan & ambil pelan lulus serta permit ubahsuai MBSA. Saya maklumkan pada klien & buat temujanji untuk serahkan dokumen pada beliau.

Gambar bil MBSA yang telah dibayar & pelan lulus serta permit ubahsuai rumah seksyen U13



NOTA PENTING ;

a. Nama klien, alamat rumah, akitek, pegawai MBSA & nombor file saya padamkan dalam gambar untuk menjaga privasi mereka.

b. Tempoh proses mendapatkan kelulusan boleh menjadi panjang lebih 4-5 bulan jika ;

- klien banyak buat pindaan rekabentuk 3-4 kali,

- selepas submission ke MBSA, ada banyak pembetulan perlu dibaiki selepas disemak pegawai,

- ada dokumen tambahan yang MBSA minta klien sediakan untuk kemukakan ke pegawai,

- ada banyak cuti umum dalam sebulan menjadikan masa proses pelan akan bertambah


JANGKAMASA & TEMPOH MENDAPAT KELULUSAN PELAN;

Anggaran tempoh masa diambil untuk kerja rekabentuk ubahsuai rumah, penyediaan pelan submission, submission pelan ke MBSA hingga mendapat kelulusan adalah sekitar 3 bulan, bermula dari awal bulan September hingga akhir November 2022.

KESIMPULAN;

Saya harap perkongsian kali ini bermanfaat kepada pemilik rumah yang ingin mendapatkan kelulusan pelan dari MBSA. Nasihat saya, buat permohonan sekurang-kurangnya 3-4 bulan sebelum memulakan kerja ubahsuai rumah supaya anda mendapat permit dalan tempoh yang di jangka.

Jumpa lagi dalam artikel akan datang, selamat berpuasa, selamat berbuka & selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT PENYEDIAAN PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA


MAKLUMAN ;

Artikel di atas adalah copypaste dari tulisan asal saya dlam blog dibawah ;

https://tips-ubahsuai-rumah.blogspot.com/2023/04/case-study-proses-mendapatkan-permit.html


Case Study Proses Kelulusan Pelan Ubahsuai Rumah 2 Tingkat ke 3 Tingkat di Shah Alam

 

Ubahsuai Rumah 2 Tingkat ke 3 Tingkat di Shah Alam

Contoh ubahsuai rumah 2 tingkat ke 3 tingkat

Assalamualaikum & salam sejahtera! Terimakasih kerana masih sudi mengunjungi blog yang kerdil ini.... Kali ini saya nak bincangkan masalah ubahsuai rumah di Shah Alam, bolehkah Ubahsuai Rumah 2 Tingkat Jadi 3 Tingkat? Nak tau jawapannya; sila baca artikel case study dibawah sampai habis, kalau tak baca nanti tak laku pulak blog ni hehehehe...

Case Study Ubahsuai Rumah 2 Tingkat Jadi 3 Tingkat di Shah Alam

Ogos 2014
- Klien melantik saya untuk menguruskan pelan ubahsuai rumah teres 2 tingkat lot tepi di seksyen U13 & beliau bercadang untuk membuat tambahan rumah bahagian depan, tepi & tambahan loteng serta stor tangki air di atas bumbung flat roof sediada.
- Tambahan rumah bahagian tepi/depan takda masalah, tapi saya maklumkan bahawa untuk tambahan loteng serta stor tangki air di atas bumbung flat roof sediada perlu buat rayuan ke MBSA & jika dibenarkan baru saya boleh sediakan pelan untuk dikemukakan ke MBSA.
- Saya sediakan surat rayuan & ditandatangani klien & saya submit bersama lakaran pelan ubahsuai ke MBSA.

September 2014
- MBSA keluarkan surat jawapan kepada rayuan. Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan tambahan rumah bahagian depan & tepi 2 tingkat dibenarkan
TAPI dukacita dimaklumkan bahawa tambahan loteng baru & stor tangki air tidak dibenarkan menjadi 3 tingkat.
- Selepas mendapat surat jawapan dari MBSA, saya buat temujanji di MBSA & berbincang dengan pegawai in-charge ubahsuai rumah seksyen U13.
- Hasil perbincangan tersebut, klien hanya dibenarkan membuat stor tangki air terbuka dengan flat roof & grill sahaja dan tidak dibenarkan membuat bilik loteng dengan tangga bersambung ke tingkat 2 dibawah. Bumbung stor tangki air tidak dibenarkan melebihi paras bumbung asal rumah.
- Klien setuju dengan syarat tersebut & saya mulakan kerja-kerja penyediaan pelan ke MBSA bermula Oktober 2014.

Dibawah ini adalah video rekabentuk ubahsuai rumah seksyen U13 yang saya cadangkan kepada klien merujuk kepada tambahan yang dibenarkan MBSA. 




November 2014
- Pelan siap dicetak & ditandatangani klien & telah dikemukakan ke MBSA
- 1st submission; Pelan telah disemak & dikomen oleh pegawai & perlu buat pembetulan/pindaan ke-1
- 2nd submission; Pelan telah disemak & dikomen oleh pegawai & perlu buat pembetulan/pindaan ke-2
- 3rd submission; Pelan telah disemak & diterima oleh MBSA, bil dikeluarkan & bayaran dibuat di kaunter G, MBSA
- Suka dimaklumkan bahawa submission plan di atas adalah 3x dalam 3 hari berasingan kerana saya perlu membawa pulang pelan2 untuk dibaiki/dipinda
- Dibawah adalah gambar surat akuan pelan diterima oleh MBSA & saya perlu datang hari berikutnya untuk mengambil pelan lulus & permit ubahsuai rumah.



Surat akuan pelan diterima MBSA


Akhirnya MBSA keluarkan permit ubahsuai rumah & pelan lulus dibawah! Alhamdulillah...



Jawapan kepada soalan; Bolehkah Ubahsuai Rumah 2 Tingkat Jadi 3 Tingkat di Shah Alam?

Ya dan tidak! Ya jika ubahsuai tersebut dibenarkan selepas rayuan anda diterima MBSA, tidak jika rayuan kena rejek! hehehe jangan marah nanti kena jual daaa. Ringkas cerita, jika anda perlu tambahan 3 tingkat, buat rayuan dulu ke MBSA & kemukakan sebab2 yang munasabah dalam surat tersebut beserta lakaran kasar saiz A4 tambahan 3 tingkat yang dicadangkan & submit ke tingkat 8, Jabatan Bangunan MBSA.

Saya harap tips ubahsuai rumah kali ini dapat membantu anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Jumpa lagi & selamat mengubahsuai rumah anda di tahun 2015!




NOTA PENTING ;
Artikel di atas adalah copypaste dari artikel asal yang saya tulis di sini ==> https://tips-ubahsuai-rumah.blogspot.com/2014/12/ubahsuai-rumah-2-tingkat-jadi-3-tingkat.html